Khamis, 13 Mei 2010

Keselamatan Menggunakan Gunting

1. Mata gunting hendaklah dirapatkan ketika tidak digunakan.
2. Pegang gunting dengan berhati-hati ketika menggunting kain.
3.ketika menyerahkan gunting kepada rakan, hulurkan dengan memberikan bahagian pemegang gunting.
4. Semasa menggunakan gunting, tumpukan perhatian pada mata gunting semasa digunakan
5. Minyakkan sendi gunting dan lapkan habuk sebelum gunting disimpan dalam kotak atau bekasnya.

PANDUAN KESELAMATAN DIRI

Penggunaan Jarum Tangan

1. Pegang jarum dengan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari.
2. Perhatikan jari semasa memegang jarum. Jangan tercucuk jari.
3. Hujung jarum menghala ke bawah.
4. Semasa menggunakan jarum, tarik jarum menghala ke hadapan bukan ke atas supaya tidak tercucuk mata.
5. Ketika berhenti menjahit, letakkan jarum pada span pencucuk jarum.
6. Jangan sepahkan jarum apabila tidak digunakan. Simpan dalam bekasnya semula.
7. Jarum yang telah patah, berkarat atau tumpul, jangan dibuang merata-rata.

Selasa, 26 Januari 2010

Jenis-jenis Mesin Jahit

Terdapat 4 jenis mesin jahit:
1. Mesin Tangan
Mesin tangan boleh dibawa ke sana sini, tetapi kerja menjahit lebih lambat.
2. Mesin Kaki
Mesin kaki lebih mahal dari mesin tangan dan dijalankan melalui gerak kaki. Ia boleh disimpan dan ditutup
seperti sebuah meja.
3. Mesin Jahit Elektrik
Mesin jahit elektrik terdiri daripada jenis mesin tangan dan juga mesin kaki yang digerakkan dengan motor
elektrik. Untuk menjahit, pengguna perlu menekan pemijaknya. Ia menjimatkan masa dan tenaga tetapi
harganya lebih mahal.
4. Mesin Jahit Automatik
Mesin jahit ini paling moden. Terdapat pelbagai jenis mata jahitan boleh didapati pada mesin ini. Ini
membolehkan beberapa bentuk dan proses jahitan yang rumit dapat dilakukan dengan baik. Harganya lebih
mahal berbanding mesin jenis lain. Pengguna perlu lebih cekap menggunakan mesin ini.

Khamis, 14 Januari 2010

Jahitan Jelujur

Jahitan jelujur menyambungkan dua atau lebih kepingan kain untuk sementara. Jahitan ini ditanggalkan selepas jahitan kekal dijahit. Terdapat lima jenis jahitan jelujur iaitu:
1) Jelujur Tanda
2) Jelujur Tak Sama
3) Jelujur Kasar ( Jelujur Sama)
4) Jelujur Panjang Pendek
5) Jelujur Tegak

Soalan Latihan:

1. Rujuk buku jahitan dan gambar contoh setiap jenis jelujur yang dinyatakan.
2. Lukis jenis-jenis jelujur seperti contoh yang diberi dalam buku latihan.
3. Sila senaraikan alatan yang diperlukan untuk menjahit jelujur.
4. Hantar buku latihan untuk semakan guru.

Khamis, 10 September 2009

Pengenalan:
Murid-murid pendidikan khas terdiri dalam pelbagai kategori ketidakupayaan berbanding dengan murid kelas aliran perdana. Mereka sukar memberi tumpuan agak lama ketika pengajaran guru. Justeru itu, murid-murid khas memerlukan banyak aktiviti, kaedah dan teknik mengajar yang berkesan dengan masalah mereka secara individu.

Objektif:
Objektif blog ini adalah untuk membolehkan murid-murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah elektronik dan web dengan bermakna dan menggembirakan. Disamping itu bahan-bahan yang disediakan membolehkan murid dapat:
  • mengenalpasti alatan menjahit untuk jahitan tangan seperti yang terdapat dalam sukatan kurikulum kemahiran hidup pendidikan khas.
  • kemahiran asas menjahit yang diperlukan dalam kehidupan harian murid seperti menampal pakaian, membaiki pakaian tetas, butang longgar atau tertanggal.

  • membuat persediaan awal sebelum kelas dengan merujuk topik yang akan dipelajari melalui blog.

  • belajar sambil bermain dengan mengikuti aktiviti permainan melalui pautan yang disediakan.

  • meningkatkan pengetahuan murid dengan membuat latihan-latihan yang disediakan berdasarkan topik pelajaran.

  • menghasilkan kerja tangan berasaskan jahitan seperti projek artikel mudah melalui panduan yang disediakan.

Contoh hasil kerja jahitan yang berjaya dihasilkan oleh murid Kelas 9,

PIPKBP SK.Datin Khadijah

Rabu, 9 September 2009

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Jahitan

Kaedah dan teknik pengajaran bagi murid PIPKBP

Guru Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran menghadapi pelbagai cabaran untuk mengajar Kemahiran Hidup kepada murid-murid khas. Oleh itu, Jabatan Pendidikan Khas, KPM telah mengeluarkan Buku Panduan Kemahiran Hidup (Jahitan) yang dapat membantu guru merancang, melaksana serta menilai proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan untuk mencapai matlamat kurikulum pendidikan khas. Berdasarkan sukatan pelajaran, bagi komponen jahitan PKBP, antara tajuk yang perlu dikuasai oleh murid ialah:
  1. Mengenal alatan jahitan
  2. penggunaan alatan jahitan
  3. keselamatan di bilik atau bengkel jahitan
  4. kebersihan bilik jahitan
  5. jahitan asas
  6. hasil kerja tangan / artikel mudah
  7. projek jualan hasil kerja jahitan

Kemahiran jahitan dapat membolehkan murid-murid khas mempunyai kemahiran asas jahitan yang diperlukan dalam kehidupan harian. Contohnya untuk membaiki pakaian yang koyak dan tetas, menampal, menjahit butang dan kancing yang tertanggal, membuat artikel mudah dan jika boleh dapat menjahit pakaian sebagai satu kerjaya pada masa depan. Oleh itu untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan banyak kaedah dan teknik yang boleh digunakan oleh guru supaya murid dapat menguasai kemahiran ini. Antaranya ialah:

  1. Belajar sambil bermain - mengenali alatan asas jahitan
  2. Latih tubi - menamakan alatan, menyebut nama alatan, memperkenalkan alatan melalui gambar, objek sebenar, memadankan gambar, memadankan gambar dengan perkataan.
  3. Tunjuk cara - mengenal bahagian-bahagian alatan, mengetahui fungsi alatan, mengetahui cara menggunakan alatan yang betul, cara penjagaan alatan
  4. Soal jawab - mengemukakan soalan
  5. Perbincangan - menerangkan peraturan, cara penggunaan, keselamatan penggunaan
  6. Amali - menggunakan alatan, menjaga alatan, mematuhi arahan dan peraturan
  7. Lawatan sambil belajar - pergi ke kedai alatan menjahit, kedai kraftangan, pameran hasil kerja jahitan
  8. Projek jahitan - menghasilkan artikel mudah, jahitan hiasan, mempamer hasil kerja jahitan, menjual hasil kerja murid

Selasa, 8 September 2009

Gambar Artikel Mudah

Sarung tangan ketuhar
Poket serbaguna

Dompet


Sapu tangan

Sarung kusyen
Apron